Jom Baca Blog!

Posts tagged “lawak bodoh

Tsunami, Jishin, Nihonjin

Meow. Hari itu aku marah. Geram. Malu. Kenapa? Korang kena baca entri sebelum ini.

Tapi hari ini aku rasa lega, bercampur takut, berbaur risau.

Seperti yang korang sudah maklum, berita kartun Ultraman dikejar tsunami sudah sampai ke telinga penduduk Jepun.  Korang boleh tengok link ini untuk bacaan lanjut. Berita tersebut dipaparkan dalam laman web Yahoo Japan News.

Berikut adalah terjemahan bahasa Melayu aku.

[Masa Kuala Lumpur] Berita Harian bertarikh 14hb, satu artikel dikeluarkan untuk meminta maaf kerana menerbitkan manga(kartun) harian yang menggambarkan kurangnya perhatian kepada mangsa gempa bumi timur jepun.

Manga ini memaparkan hero Ultraman yang lari dari tsunami. Artikel meminta maaf itu menyatakan “Tiada sebarang niat untuk mempermainkan”. Penulis juga turut sama memohon maaf.

Ya, aku tahu. Bahasa aku berterabur di atas. Agak sukar untuk menterjemahkan dalam perkataan dengan sempurna. Tetapi intipati berita itu lebih kurang begitu bunyinya. Jika ada kesilapan, aku berbesar hati untuk ditegur.

Lega

Aku lega kerana tak semua orang jepun yang memberi respon negatif mengenai kartun Ultraman dikejar tsunami. Berikut adalah antara komen yang sedap untuk didengar.

でも、ウルトラマンは最後に必ず勝つ。

Tapi Ultraman last-last confirm menang jugak!

マレーシアでは、日本といえばウルトラマンなのか?

Di Malaysia, bila sebut tentang Jepun, orang akan fikir pasal Ultraman ea?

そんな程度かわいいものです。もっと酷いことを隣国にされてます

Perbuatan ini comel. Kami kena perbuatan yang lebih teruk oleh negara jiran.

 

Takut

Dan aku ada terbaca respon negatif orang Jepun tentang hal di atas. Takut jugak. Jom tengok antara komen yang kurang memang tak sedap didengar.

謝るのは当然のこと。

Memang patut kena minta maaf pon.

バカにするな。人命に関わるのに不謹慎だ。

Jangan perbodohkan hal ini. Nyawa manusia tak boleh buat main.

どこの国でも 報道するものの モラルとか欠けてること多いんだな

Mana-mana negara pun ada banyak juga kejadian tak bermoral.

Kalau korang nak baca lagi komen-komen orang Jepun mengenai isu ini, sila klik link ini.

Kalau kita tengok, mereka juga seperti kita. Ada yang marah, ada yang tidak. Aku rasa cukuplah untuk aku marah sehari sahaja. Korang pula bagimana?

Senpai aku juga ada menulis entri berkaitan hal ini. Korang patut baca. Sebab entri beliau membuka pemikiran aku.

 

Risau

Aku tinggal di Yamaguchi. Jarak antara Yamaguchi dan Tokyo adalah lebih daripada 700km. Ya, memang jauh. Tetapi semakin hari aku semakin risau. Aku risau jika gempa bumi turun hingga ke Okinawa. Aku risau jika keselamatan rakan-rakanku di Tokyo terancam. Kawasan tempat tinggal aku agak tinggi tetapi dekat dengan laut. Tetapi aku risau juga jika tsunami menghempas Pantai Kirara.

Di kaca tv kami diberitahu agar tidak panik dengan kobocoran dan letupan reaktor nuklear di Fukushima. Kami diberitahu agar sentiasa berhati-hati dan peka dengan perkembangan semasa. Tapi tak salah kan untuk aku risau?

 

Kesimpulan

Aku pasti korang tahu apa itu tsunami. Jishin bermaksud gempa bumi, dan nihonjin bernaksud orang Jepun. Tsunami, jishin, dan nihonjin. Itu adalah tiga perkataan yang tak dapat dipisahkan. Saling melengkapi antara satu sama lain.

Aku yakin kerajaan Jepun, penduduk Jepun, dan pasukan penyelamat luar negara sedang berusaha keras untuk mengatasi pelbagai masalah yang kian meruncing ini. Aku ucapkan tahniah kepada mereka. Aku minta agar mereka sentiasa tabah.

Aku tak tahu nasib Jepun pada hari esok. Ataupun lusa. Yang aku tahu, aku tak nak jadi manusia yang langung tidak membantu ketika mereka memerlukan. Sensei aku orang Jepun. Tutor aku orang Jepun. Member aku juga orang Jepun. Mereka banyak membantu aku untuk menghadapi hidup di sini. Buat masa ini aku hanya mampu berdoa untuk keselamatan mereka, rakyat Jepun serta keselamatan rakyat Malaysia di sini.

Jauh disudut hati aku, wujud perasaan kecewa dalam diri. Kerana aku tiada jawapan untuk soalan yang aku tanya diri aku setiap hari:

Apa usaha kau untuk bantu mereka?

Peace!

Notakaki: Terima kasih kepada semua atas komen untuk entri sebelum ini. Aku cukup seronok bila korang tulis komen. Tak kita yang baik atau yang membina. Aku sayang korang.

Notakakilagi: Ramai yang bertanya bagaimana nak follow blog ini. Buat masa ini, korang boleh bookmark, subscribe rss. atau follow twitter aku. Aku sayang korang lagi sekali.

 


Tsunami, Gempa Bumi, Aku Marah Ni

Meow. Entri ini ditulis ketika perasaan marah membuak-buak di dalam dada.

Ada tiga sebab kenapa aku marah.

1. Penyataan Datin Paduka Seri Rosmah Mansor mengenai tragedi gempa bumi dan tsunami di Jepun.

 

Rosmah Mansor menyatakan bahawa malapetaka tsunami dan gempa bumi di Jepun itu berpunca dari kelalaian negara Jepun melaksanakan pembangunan mesra alam. ‘Kelalaian negara Jepun melaksanakan pembangunan mesra alam‘. Aku terkejut dengan penyataan kau. Bukan itu saja, aku malu, dan marah.

Kalau kau nak tahu, negara Jepun sangat mengambil berat dalam hal alam sekitar terutamanya apabila melibatkan sebarang projek pembangunan dan teknologi. Kami pelajar engineering di Jepun sangat diberi penekanan terhadap kesan pembangunan terhadap alam sekitar oleh lecturer kami.

Teknologi Eco sangat digalakkan oleh kerajaan. Kau tahu, kerajaan Jepun beri duit kalau kau beli barang yang menggunakan teknologi Eco dan menjimatkan penggunaan tenaga elektrik. Aku dapat 5000Yen sebab beli TV Sony yang Eco. Kerajaan kita ada? Dimana teknologi mesra alam yang Malaysia gunakan? Di sini, kami kongsi duit beli kereta Prius. Ya, kereta hybrid. Kenapa? Sebab cukai kereta hybrid lebih murah! Inilah negara Jepun yang kau cakap ‘lalai melaksanakan pembangunan mesra alam’.

Aku rasa semua sudah maklum kenapa gempa bumi boleh berlaku. Ya, kerana pergerakan plet pada kerak bumi. Gempa bumi di kawasan laut boleh membawa kepada tsunami. Itu general knowledge. Takkan benda mudah itu pon kau tak tahu. Aku malu dengan kau. Budak Jepun yang masih di tadika pon boleh jawab.

2. Kartun Ultraman lari dikejar tsunami dalam Berita Minggu.

Aku marah dekat Berita Harian. Aku marah dekat kartunis Zoy. Woi, kalau nak bergurau ada limit tahu tak. Bagi kau, mungkin isu ini kelakar. Boleh dibuat gurauan. Tetapi tidak bagi kami yang berada di tanah Jepun ini. Isu gempa bumi dan tsunami tak boleh dibuat main. Orang Jepun  sendiri mengambil serius pasal gempa bumi. Hatta gempa bumi berskala 1 pun, ada makluman dekat TV untuk memberitahu rakyat Jepun tentang gempa bumi yang bakal berlaku atau yang sedang berlaku.

Ini soal nyawa. Di mana budi bicara orang Melayu? Di mana kesopanan dan kesusilaan yang diucap dalam Rukun Negara? Atau kau buat-buat lupa? Berita ini sudah masuk CNN. Satu dunia boleh tahu.

Kau tidak berada di sini, bolehlah mengambil ringan pasal gempa bumi, tsunami dan hujan asid. Tetapi tidak bagi kami di Jepun. Tolong, tolong, tolonglah sensitif sikit sebab di Jepun ini pun ada rakyat Malaysia.

3. Berita mengenai status keselamatan Maria Ozawa dalam Kosmo!

Kau bimbang pasal Maria Ozawa? Wadahel? Dalam berjuta orang di Jepun ini, Maria Ozawa jugak kau nak laporkan. Kenapa? Maria Ozawa memainkan peranan penting dalam hidup editor Kosmo? Maria Ozawa membantu untuk menaikkan industri pornografi hiburan di Malaysia?

Apa kau nak jawab bila ada budak kecil yang peka dengan isu gempa bumi di Jepun membaca laporan tersebut dan bertanya:

“Ayah, Maria Ozawa tu siapa?”

“Mak, porno tu apa?”

Apa kau nak jawab? Aku tanya kau.

Kesimpulan

Aku kecewa dengan Rosmah. Aku marah dengan Berita Harian. Aku geram dengan Kosmo!

Insiden kali ini menunjukan di mana Malaysia berdiri dalam membantu negara Jepun menghadapi dugaan kali ini. Satu sahaja yang aku cukup risau. Bagaimana Jepun akan melihat Malaysia selepas ini?

Aku takut rakyat Jepun akan memandang serong terhadap Malaysia. Sebab pihak pertama yang akan terkena tempias ini ialah rakyat Malaysia di Jepun. Ya, termasuk aku. Aku takut. Apa nak jawab kalau member aku tanya? Apa aku nak jawab kalau sensei aku tanya? Aku masih belum ada jawapan.

Notakaki: Maaf sekiranya perkataan dan kosa kata dalam entri ini kasar.

Notakakilagi: Aku tidak salahkan kerajaan Malaysia. Cuma aku harap kerajaan lebih telus dalam menangani isu ini sebelum terlambat.

Lagilaginotakaki: Aku risau sebenarnya. Risau dengan gempa bumi. Risau dengan isu yang melibatkan Malasysia ini. Semoga semuanya berakhir dengan cepat.

Notanotakakikaki: Kredit gambar kepada Iqraitubacalah dan Cerahjeff. Kredit info video kepada @sal_mi_za.